Contoh Karangan : Program Latihan Khidmat Negara



*Program Latihan Khidmat Negara*


Program Latihan Khidmat Negara mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2004 untuk memberikan kursus ketahanan diri dan menanam semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak muda . Pelatih-pelatih yang menyertai program ini terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan diadakan di beberapa kem yang ditubuhkan di beberapa lokasi .
  
  Tujuan program ini diperkenalkan adalah untuk menanam semangat patriotik dalam karangan belia yang akan mewarisi pucuk kepimpinan negara ini kelak.Hal ini demikian kerana kebanyakan belia kita masih tidak mempunyai semangat patriotik yang tinggi walaupun mereka sudah diterap dengan semangat itu semenjak di bangku sekolah.Jadi , dengan adanya latihan yang memerlukan tenaga fizikal dan mengikuti ceramah-ceramah yang disampaikan semasa mereka di kem-kem latihan oleh fasilitator , maka semangat patriotik dapat ditanam dalam sanubari mereka.

  Semasa tiga bulan menjalani Program Latihan Khidmat Negara , pelatih-pelatih ditempatkan di kem-kem yang disediakan dengan pelbagai kemudahan.Hal ini demikian kerana mereka bukan sahaja akan diberi latihan fizikal untuk memantapkan ketahanan diri mereka , tetapi mereka juga diberi penerapan nilai-nilai murni melalui ceramah dan aktiviti yang disediakan. Dengan itu , mereka diharapkan mempunyai daya tahan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan dengan tabah apabila mereka menamatkan latihan itu kelak.

  Untuk menjayakan program yang membabitkan ramai peserta , maka kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak. Semua perbelanjaan untuk menjalani program ini ditanggung oleh kerajaan. Wang yang dibelanjakan ini tidak boleh dianggap sebagai pembaziran , tetapi perlu dianggap sebagai pelaburan untuk melahirkan generasi muda yang lasak dan mempunyai visi untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.

  Oleh itu , semua pihak perlu memberikan sokongan terhadap Program Latihan Khidmat Negara . Malah , diharapkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang belum terpilih diberi peluang untuk mengikuti program ini kelak .