Soalan; as salam ustaz, soalan saya; adakah salah bila kita ucap takziah kepada bukan Islam
dengan cara semoga roh nya rest in peace...tkasih
Jawapan
Ucapan takziyah bertujuan memberi semangat kepada orang yang ditimpa suatu musibah (kematian, kerugian, malapetaka dan sebagainya), agar mereka bersabar menerima ketentuan Ilahi dan tidak putus harap. Bagi kematian, takziyah diucapkan kepada keluarga si mati atau orang yang dekat dengannya. Ia boleh diucapkan termasuk kepada orang kafir. Adapun doa untuk si mati, hanya dibolehkan jika si mati seorang muslim. Allah berfirman;
"Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka (yakni mati dalam kekufuran)" (surah at-Taubah, ayat 113. Lihat; tafsir al-Jalalain).
"rest in peace" adalah doa, maka tak boleh diucapkan kepada jenazah bukan Islam. Cukup dengan takziyah kepada keluarganya, seperti ucapan "Bersabarlah, kita semua milik Tuhan, akan kembali kepada Tuhan" atau "Semoga Allah memberi ganti kepadamu dengan yang lebih baik darinya" atau ucapan lain sepertinya.
Wallahu a'lam.
Tambahan;
1. Imam al-Munawi menjelaskan; “Mengucapkan ucapan takziah hukumnya adalah sunat muakkad. Ia tidak hanya khusus kerana kematian sahaja tetapi merangkumi semua musibah. Takziah kerana kematian, sunat diucapkan sama ada sebelum dikebumikan mayat atau selepasnya. Mengikut mazhab Syafi’ie; masa mengucapkan takziah bermula sebaik sahaja berlaku kematian dan ia berterusan selama tiga hari selepas dikebumikan. Adapun selepas itu, ia dimakruhkan kecualilah jika orang mengucapkan takziah atau yang akan menerima ucapan takziah tidak ada kecuali selepas tiga hari” (Faidhul Qadier, syarah hadis no. 8092).
Rujukan;
1. al-Muhazzab (lihat; kitab al-Majmu', Imam an-Nawawi, 6/386).
2. Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, hlm. 30.
0 Ulasan
Komen yang murni , insyallah saya akan balas