ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?


SOALAN

 ustaz, sepertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suaminya telah meninggal? Adakah syurganya kembali kepada ibu kandungnya?


Jawapan;

Hingga bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.
Sabda Nabi SAW;

الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا
“Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Al-Mu'jam al-Kabir, at-Thabrani; 2202. Menurut al-Munziri; sanad hadis ini baik. Lihat; at-Targhib wa at-Tarhib, al-Munziri; 3751). Sabda baginda juga;
رِضا الرَّبِّ فِي رِضا الوَالِدِ وَسُخْطُ الرَّبِّ فِي سُخْطِ الوَالِدِ
“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (HR at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Sama ada bergelar isteri atau tidak, seorang anak tetap wajib berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Mentaati suami adalah perintah Allah, berbakti kepada ibu dan bapa juga perintah Allah, maka kedua-duanya wajib dilaksanakan semampunya.

Untuk memahami lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?).

Wallahu a'lam.

Catat Ulasan

0 Ulasan